CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, February 15, 2009

Utusan Malaysia 2 Nov 2004

MADU begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kebiasaannya, masyarakat Melayu mempercayai bahawa madu adalah penyembuh bagi pelbagai jenis penyakit, terutamanya yang berkaitan dengan masalah kelamin atau seksual. Kepopularan madu ini juga berkait rapat dengan saranan di dalam agama Islam itu sendiri. Al-Quran menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, mahupun kesihatan tubuh badan dan rohani agar dapat mengerjakan segala perintah Allah s.w.t. dengan teratur.Firman Allah dalam surah an-Nahl: 69 yang bermaksud:

Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Dari perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubatmenyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.

Rasulullah s.a.w. juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Quran. Baginda bersabda :

Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa madu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan. Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga. Dengan keyakinan bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang diterangkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.:

Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu penyakit tua.(Hadis riwayat Abu Daud)"

Mereka yang mengetahui khasiat madu akan menggunakannya secara rutin. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripadabeberapa kajian yang dilakukan. Jika diamalkan setiap hari, ia akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup, terutamanya dalam kita melaksanakan ibadah puasa. Madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian.

Selain itu, mereka yang mahu mengamalkan diet yang sihat,pengambilan madu adalah satu langkah yang bijak dan selamat. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang makan madu tiga kali sehari di dalam setiap bulan, tidak akan tertimpa ke atasnya bala yang besar.

Dalam perubatan tradisional, madu dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit.Jika disapukan madu, akan dapat mengurangkan kesakitan sengatan dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan amat cepat menyembuhkan bahagian yang terbakar. Pengambilan madu juga boleh menyembuhkan batuk dan mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh, khususnya pada bahagian kaki.

Madu tersusun atas beberapa molekul gula, seperti glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral, asid amino dan asidfolik. Ia dipercayai boleh memberi tenaga, kecergasan badan dan minda serta membina kesihatan dengan membaik-pulih sistem dalaman badan. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.Bertepatan dengan firman Allah s.w.t. bahawa madu adalah ubat yang menyembuhkan bagi manusia.

UtusanOnline - ZUARIDA MOHYIN




1 comments:

alam said...

Jemput melawat www.caklam.blogspot.com
Terima kasih.